counter.bloke.com
|
PERWAKILAN UMNO - JANGAN JADI PAK TURUT SAJA..!!
ALI
ALLAH DITTA
Mahathir Mohammad dan Abdullah Badawi telah memenangi kerusi presiden dan
Timbalan presiden UMNO
dengan mudah setelah meraih sokongan lebih daripada 155 bahagian UMNO baru-baru ini.
Kemenangan padu ini kononnya hasil daripada perpaduan ahli-ahli UMNO. Tetapi adakah
ahli-ahli UMNO ini diberi kebebasan untuk memilih?,sedangkan rata-rata orang tahu
bahawa mereka telah diarah untuk memastikan bahawa jawatan presiden dan timbalan presiden
tidak dipertandingkan.
Apa yang jelas sokongan orang Melayu kepada UMNO sudah kian
pudar. Pemilu 1999 lalu, telah menunjukkan gejala ini apabila UMNO tewas banyak
kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang ditandinginya. Apakah kekalahan ini
menunjukkan orang Melayu sudah tidak gemarkan UMNO lagi atau orang Melayu bencikan
Mahathir? Inilah perkiraan yang perlu dihitung oleh Mahathir dan UMNO.
Mahathir
dengan bangga mengatakan bahawa orang-orang Melayu sudah mula menyokong UMNO semula dan
pilihanraya kecil Sanggang dijadikan indikator untuk mengukur sokongan orang Melayu kepada
UMNO. Apa yang berlaku di Sanggang tidak semestinya menunjukkan bahawa orang Melayu
telah kembali menyokong UMNO. BN/UMNO dengan jentera pilihan rayanya yang mewah
dengan wang ringgit untuk ditaburkan serta pemberian hadiah seperti kain, basikal, baju, pakaian yang
disogokkan kepada rakyat Sanggang untuk meraih sokongan
mereka. Rakyat juga ditakut-takutkan dengan pelbagai ugutan, ditambah pula dengan penipuan
dalam daftar pemilih maka tidak hairan BN/UMNO boleh menang mudah.
Mahathir perlu
juga ingat, arahannya supaya kedua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan telah
memberi laluan mudah bagi Mahathir dan Abdullah Badawi untuk mengekalkan kuasa
masing-masing untuk tiga tahun akan datang. Siapa yang berani mencabar arahan tersebut ?
Tengku Razaleigh yang diura-urakan akan bertanding menentang Mahathir atau Abdullah
Badawi bagi salah satu jawatan tersebut juga terpaksa berundur macam tikus.
Masalah
UMNO bukan kerana ahli UMNO itu tidak mahu bersuara, tetapi tidak boleh bersuara.
Ahli-ahli UMNO semuanya menunjukkan kesetiaan macam budak sekolah yang menerima apa
saja arahan dan teguran guru mereka. UMNO mengamalkan satu sistem kesetiaan yang
memberi imbuhan yang lumayan jika ahli-ahlinya sentiasa taat dan akan dizalimi jika mereka
menentang. Apa yang berlaku ke atas DSAI adalah contoh yang paling baik. Ahli UMNO tidak
ada pilihan lain, cuma mendiamkan diri dengan menyokong Mahathir secara buta tuli untuk
elak daripada dizalimi.
Amalan kesetiaan dalam UMNO menyebabkan ramai ahli-ahlinya
begitu taksub kepada pemimpin, hinggakan apa saja pemimpin itu lakukan sama ada baik
atau buruk semua bagus belaka bagi mereka. Walaupun ahli-ahli UMNO sedar tentang kes-kes rasuah, skandal
seks dan salah guna kuasa yang melibatkan beberapa orang menteri besar dan
menteri kerajaan Mahathir seperti Rafidah Aziz, Daim Zainuddin, Mohamad Taib, Rahim Thamby
Chik, Megat Jonid dan baru-baru ini perbuatan mencarut oleh Adnan Yaakob dan tindakan
samseng oleh Sanusi Jonid, ahli-ahli UMNO masih lagi mendiamkan diri dan memperakui
tindakan-tindakan itu.
Ahli-ahli UMNO tahu bahawa UMNO hari ini bukan lagi
macam UMNO dulu. UMNO hari ini dicemari dengan budaya rasuah, penipuan, samseng, tamak, gila
seks dan gila kuasa. Ahli UMNO juga tahu bahawa sistem kehakiman dan undang-undang negara
tidak lagi mengikut amalan perundangan yang lazim. Undang-undang yang diguna pakai hari
ini adalah undang-undang Mahathir, kerana sekarang Mahathir yang menentukan siapa yang
patut dihukum mengikut amalan pertuduhan secara terpilih. Semua hakim dan jabatan peguam
negara adalah di bawah genggaman Mahathir. Mahathir kebal dan bebas dari tindakan undang-undang, sebab itu bila hakim arah Mahathir ke mahkamah Mahathir buat tidak peduli
saja.
Ahli UMNO janganlah anggap Mahathir itu kebal dari segala-segalanya.
Janganlah mendiamkan diri sedangkan Mahathir, menteri-menterinya dan para kroninya menggeledah
hasil negara. Janganlah mendiamkan diri melihat Mahathir merogol sistem
perundangan dan kehakiman negara, memperkecilkan peranan sultan serta raja dan cuba
meletakkan dirinya atas segala-galanya.
Mahathir hanya pandai bercakap, memperdaya dan mengugut orang Melayu kononnya orang Melayu akan
dijajah semula. Kononnya, pihak pembangkang akan menimbulkan huru hara. Kononnya akan berulang
peristiwa 13 Mei sekali
lagi. Mahathir memang pandai temberang, pandai menyalak di sana sini kononnya dia tahu
segala-galanya. Tetapi, bila dicabar menghadapi kebenaran dan keadilan Mahathir lari macam
tikus berselindung di bawah ketiak seorang hakim suruhannya.
Inilah pemimpin UMNO
yang diagung-agungkan, pembela orang-orang Melayu yang dikatakan mendapat sokongan padu
orang Melayu, walhal tidakkah ahli UMNO sekelian sedar bahawa kekalnya BN/UMNO untuk
berkuasa semula bukan kerana sokongan padu orang-orang Melayu tetapi hasil bantuan
sokongan daripada orang-orang bukan Melayu?
Perhimpunan agung UMNO ini adalah
peluang terbaik untuk menyatakan apa yang tersirat dan tersurat. Bincanglah pasal ketidakadilan, kepincangan, salah guna
kuasa, isu rasuah di kalangan menteri-menteri dan
menteri besar. Kalau Mahathir cuba mengungkit kisah-kisah tentang kes DSAI, para
perwakilan harus suruh Mahathir pergi ke mahkamah untuk menceritakannya secara panjang
lebar.
Apa saja yang Mahathir bangkitkan dalam persidangan ini perlu dipersoalkan
dan pertikaikan kerana setiap tindakan yang Mahathir lakukan itu sememangnya ada
agenda tersembunyi di sebaliknya. Mahathir memang pandai berbohong dan suka kelentong, sanggup
menitis air mata kononnya mengenang nasib orang-orang Melayu yang
miskin. Kalau Mahathir sudah sedar kemiskinan orang-orang Melayu apa yang telah dibuatnya
selama 18 tahun dia memerintah?
Tidak guna mendirikan istananya di Putrajaya yang
menelan berbillion ringgit. Mahathir patut gunakan wang tersebut untuk membantu orang-orang
Melayu miskin. Mahathir boleh buat sesuatu untuk membantu orang-orang Melayu yang tidak
mampu menghantar anak mereka ke pusat-pusat pengajian tinggi atau membantu dalam
menyediakan sistem rawatan kepada pesakit-pesakit yang tidak mampu.
Mahathir juga
patut membantu ratusan orang-orang Melayu yang telah melabur dalam saham ASN pertama yang
hari ini hanya bernilai tidak sampai 60 sen sesaham. Sebaliknya, Mahathir lebih gemar
melancarkan saham amanah yang baru yang mengandungi portfolio syarikat-syarikat kroninya
dan harga saham amanah ini melambung naik secara gila-gila. Sedangkan para petani, penoreh
getah, tukang kebun, guru sekolah dan kerani yang memiliki saham amanah ASN
pertama dulu meratap kesedihan kerana harga sekeping roti canai hari ini adalah lebih
mahal lagi daripada harga saham amanah ASN mereka milik itu.
Mahathir lebih gemar
bercakap pasal hendak membina jalan raya yang canggih sedangkan kadar tol meningkat
tiap-tiap tahun. Mahathir berminat untuk swastakan hospital supaya anak dan kroninya dapat
menikmati kontrak sedangkan rakyat jelata mengeluh kesengsaraan kerana bayaran untuk
rawatan meningkat. Mahathir lebih berminat hendak meletakkan Malaysia dalam buku Guinness
Book of Record sebagai jaguh dan juara dalam hal itu dan ini tetapi soal keadilan, rasuah, penyalahgunaan
kuasa dan penderitaan rakyat tidak dipedulikannya.
Sudah
tiba masanya untuk para perwakilan bangun dan bersuara tentang masalah-masalah yang
dihadapi oleh rakyat, khususnya orang-orang Melayu. Tidak guna menjadi perwakilan kalau
hadir dalam Perhimpunan Agung di PWTC hanya sekadar untuk menepuk tangan, menganggukkan kepala, berpantun
berjenaka sebagai penglipur lara untuk disiarkan dalam TV1,TV3 dan
NTV7.
Tidakkah para perwakilan sedar bahawa selama ini ahli-ahli UMNO semuanya
telah digamkan supaya tidak boleh bersuara. Malah hendak datang ke Kuala Lumpur melawat
ibukota beberapa hari sebelum perhimpunan agung UMNO bermula juga telah dilarang, yang sudah berada di ibukota dihalau balik. Apa guna jadi ahli kalau hak bersuara disekat dan
dihalang ?
Bersuaralah untuk didengar jangan jadi pak turut semata-mata, UMNO
mengamalkan sistem demokrasi di mana setiap ahlinya bebas bercakap dan berfikir
bukan mengikut demokrasi terpimpin ala Mahathir yang sentiasa menyekat dan melarang
ahlinya berfikir dan bersuara. UMNO adalah kepunyaan ahli-ahlinya bukan milik Mahathir.
|